Status Dzulkhairi Khairi: Ada hadis sahih menyatakan ibnu umar mengintai nabi membuang air kecil. Ibnu umar ni takde kerja lain ke?

23 September 2010

Kebetulan saya terbaca status facebook salah seorang bekas Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Beliau menimbulkan persoalan yang di lontarkan oleh pengkritik hadith namun belum mendapatkan jawapan yang tepat. Beliau ragu lalu bertanya dan terus saja bertanya.

Mengapa mesti mengintai?

Kalau anda ada anak kecil, apakah anda akan kecing dihadapan anak anda dengan niat untuk mengajar?

Siapa dapat beri penjelasan terbaik?


KOMENTAR SAYA:

Saya cuba menjawab secara langsung di blog ini berdasarkan hasil rumusan daripada bahan bacaan dan ilmu yang sedia ada secara ringkas.

Umat islam perlu menyedari bahawa serangan 'puak' orientalis terhadap hadith yang mewarnai pemikiran pengkritik hadith dilancarkan secara bertahap dan bersama-sama. Ada yang menyerang matannya, ada pula yang menyerang isnadnya. Serangan mereka diarahkan ke semua kategori: sebahagian menyerang hadith sejarah yang berhubungan dengan sirah, sebahagian lagi menggugat hadith hukum atau fiqh. Maka muncullah pelbagai interpretasi ganjil seperti yang cuba ditimbulkan oleh rakan kita dalam status beliau ini. Mereka yang antibodinya lemah, pasti akan mudah terjangkit dan terserang 'kanser' keraguan dan kekufuran. Benarlah firman Allah dalam Al-Quran, “Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu sampai kamu murtad (keluar) dari agamamu, jika mereka sanggup.” (al-Baqarah: 217)

Usaha keras kita menjawab persoalan-persoalan orientalis seputar doktrin tidak akan pernah membuahkan hasil yang baik. Bahkan banyak membuang waktu dan stamina kita. Cerdik pandai islam hendaklah berupaya mengungkapkan kelemahan-kelemahan dan kesalahan-kesalahan metodologi maupun epistemologi yang terdapat dalam tulisan-tulisan orientalis dan para pengikutnya. Sebab, kesimpulan dan doktrin orientalis itu ditentukan oleh metodologinya.

JALAN UNTUK MEMASTIKAN KESAHIHAN PERKHABARAN

Apakah jalan dan cara yang .diambil oleh Islam untuk memastikan kesahihan perkhabaran atau laporan berita?


Daripada usaha ini lahir beberapa cabang ilmu yang khusus atau profesional, yang tidak terdapat dalam sejarah, kecuali dalam perpustakaan Islam, iaitu ilmu yang diistilahkan dengan Mustalah al-Hadith, al-Jarh wa ‘I-Ta'dil dan Tarajum al-Rijal. Gabungan ketiga-tiga ilmu ini telah membentuk satu ukuran atau timbangan yang halus dan dapat menapis khabar atau berita yang sahih daripada berita yang lainnya, juga dapat membezakan antara khabar-khabar yang sahih dalam taraf yang zhann daripada taraf yang yakin.


KELEMAHAN METODOLOGI ORIENTALIS


Terkait dengan kesalahan metodologi yang dianuti oleh orientalis adalah sikap paradox (berpendirian ganda) dan ambivalen (menganut nilai kebenaran ganda) yang tak terelakkan. Di satu sisi mereka meragukan bahkan mengingkari kebenaran sumber yang berasal dari Islam. Sementara disisi lain mereka menggunakan sumber-sumber islam tersebut sebagai rujukan. Hal ini disedari betul, misalnya oleh Motkzi dalam kajian sirah The Biography of Muhammad. The Issue of the Sources, “On the one hand, it is not possible to write a historical biography of the prophet without being accused of using the sources uncritically, while on the other hand, when using such sources critically, it is simply nor possible to write such a biography.”


Begitu juga dalam kes Juynboll yang serba salah dan mengatakan bahawa susah mempercayai kebenaran dan sejarah hadith, namun juga menyatakan bahawa secara keseluruhan hadith-hadith itu menggambarkan situasi sejarah yang boleh dikata cukup boleh dipercaya (I realize that it is difficult to accept that all those early one of them should be taken as factually correct. But I maintain that, taken as a whole, they all converge on a description of the situation obtaining in the period of history under scrutiny which may be defined as pretty reliable). Maksudnya, disatu sisi ia mendustakan, dan disisi lain ia membenarkan.


Secara epistemologi, secara umum dapat dikatakan bahawa sikap orientalis dari awal hingga akhir penelitiannya adalah skeptik. Mereka bermula dari keraguan dan berakhir dengan keraguan pula. Meragukan kebenaran dan membenarkan keraguan. Akibatnya, meskipun bukti-bukti yang ditemukan menegaskan hipotesisnya, tetap sahaja mereka akan menolaknya. Sebaliknya, apa-apa yang tidak sesuai dengan presuposisi dan misi yang ingin dicapainya akan dimentahkan dan dimuntahkan. Seperti yang diungkapkan Herbert Berg dalam The Development of Exegesis in Early Islam, “the results of their work is dictated by their presuppositions” dan “the data are made to fit the theory.”

PENUTUP

Meskipun tidak semuanya hasil tulisan orientalis dapat dikupas dalam blog ringkas ini, ada satu hal yang dapat kita simpulkan dari ulasan cuplikan di atas. Tulisan-tulisan dan ‘ejekan’ orientalis mengenai Islam dan segala sumber serta aspek-aspeknya harus diwaspadai dan dibaca secara kritis, tidak boleh diterima apa adanya dan ditelan begitu sahaja. Sebab, apa yang mereka kemukakan menyerupai virus penyakit akal dan pemikiran.

Namun saya yakin, saudara Dzulkhairi hanya ‘memancing-mancing’ sahaja.

Pencak silat panglima pekan,
Mencari musuh kali kedua,
Idea pertama kau pertanyakan
Jawapan hati ku dikirim jua.

1. Artikel separa ilmiah yang ditulis ketika saya berada di tahun kedua fakulti dentistry berkenaan “Titik Kekeliruan Gagasan Islamisasi Ilmu” telah dikritik tajam secara berjama’ah dalam Facebook Wan Rausyanfikir, seorang penganut tegar gagasan itu.

Hatiku berbicara, “kritik tanda kita berprestasi. Mereka yang tidak berprestasi, siapa yang mahu mengkritiknya.”

2. Mereka minta saya kritik gagasan islamisasi ilmu "point by point".

Hatiku berbicara, kalaulah saya berjaya menghasilkan BUKU-BUKU KRITIKAN dengan pembahasan dan alur fikir yang sistematik, maka sama ada dua kemungkinan;

a. Gagasan islamisasi ilmu (khusus sains sosial sahaja. Adapun islamisasi sains dan teknologi saya terima pakai) yang dibina selama bertahun-tahun bakal menuju ke gerbang kejatuhan;

b. Saya akan tenggelam dalam lautan perdebatan bersama paling sedikit 500 pendukung aliran ini di serata dunia sepanjang hidup saya. Dan ini yang paling dominan antara keduanya.

3. Mereka berkata bahawa tulisan ini akan menimbulkan fitnah besar.

Hati ku berbicara, “tidakkah gagasan penyelarasan antara ‘aql dan naql yang cuba diketengahkan melalui agenda islamisasi ilmu dibidang sosial itu mendatangkan fitnah yang lebih besar lagi. Hebat sangatkah ‘fitnah’ artikel blogspot ku ini berbanding mereka!”

4. Mereka pura-pura bertanya lagi, “apa buktinya?”

Hatiku berbicara, “Anda tidak perlu menoleh ke kiri atau kanan. Dan jangan tunggu sebuah thesis untuk membahasnya dengan panjang lebar. Jawapan ada pada diri anda sendiri. Ketika berlaku satu permasalahan sosial ditengah masyarakat, solusi apa yang bakal anda ketengahkan lalu dikempenkan ditengah masyarakat luas? Syari’at Allah (irādatullah tasyri’iyyah) yang dikutip daripada hasil ijtihad para ulama’ mu’tabar dahulu dan kontemporer (semisal Al-Qardhawi) atau hasil interpretasi daripada displin ilmu sains Sosial Barat yang telah mengalami proses deislamisasi menurut kaedah yang ditekuni oleh kalian selama bertahun-tahun?

Perlukah saya kutip poin demi poin dari blog rausyanfikir.com atau NGO lain untuk dikritik dalam facebook secara berjama’ah tentang itu?

5. Poin ini siapa pun sukar hendak percaya dan kelihatan amat berlebihan. Mereka samakan saya dengan para orientalis (semisal Snouck Hurgronje barangkali) dan Nurcholish Majid (Cak Nur).

Hatiku berbicara, “wujudkah seorang orientalis di dunia ini yang bercita-cita mahu menegakkan syariat Allah di muka bumi? Tak tahukah mereka bahawa saya juga antara pengkritik kuat “Islam Yes, Partai Islam No!” Gagasannya Cak Nur di Indonesia?

Siapa yang terperangkap dengan idea orientalis sebenarnya?

6. Mereka dengan yakin menyatakan bahawa mereka tidak meletakkan naql dibawah ‘aql. Buktinya kata mereka, tercatat banyak pandangan para ulama mu’tabar dalam buku rujukan mereka.

Hatiku berbicara, “saya mendakwa aliran islamisasi ilmu ini adalah usaha penyelarasan. Jadi, sudah tentu hujah dari para ulama mu’tabar turut digandingkan bersama. Maaf dengan bahasa lain, kalau tidak digandingkan, bagaimana mahu laku. Rujuk kembali konsep al-Tawfīq Bayn al-Dīn wa al-Falsafah menurut Ibnu Rusyd.”

7. Mereka mahu saya teliti secara mendalam “Islam and Secularism” dan “Prolegomena to the Metaphysics of Islam”.

Hati saya berbicara, lebih baik saya dan anda kuasai dan hadhom juga Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti; Kubral Al-Yaqiniyyat Al-Kawniyyah: Wujud Al-Khaliq wa Wazifah al-Makhluq, Ma’alim fi At-Thariq; Syed Qutb, Islam wa ‘Aql; Abdul Halim Mahmud, Jawlat fil fiqhain al-kabir wal akbar wa usuliha; Sa’id Hawwa, serta pandangan dan kerangka pemikiran ulama ahli sunnah wal jamaah masa kini yang benar-benar jelas.

8. Ramadhan Al-Mubarak. Jatah waktu yang seharusnya dimanfaatkan untuk mengasah hati menurut Ustaz Hasrizal, namun telah ku peruntukkan untuk mengasah akal pula. Semoga Allah memberkati saya dan rakan-rakan di sana. Ameen ya rob.


Wallahua’lam


1. Skop islamisasi ilmu menurut mereka meliputi konsep dualisme, humanisme, sekularisme yang mana kesemua konsep ini banyak terdapat dalam bidang falsafah sosial Barat.

2. Hakikat falsafah sosial adalah andaian (zann). Tidak pasti sebagaimana kesimpulan sains dan matematik justeru tidak boleh menjadi asas titik tolak pemikiran, keilmuan, amalan atau pembaharuan umat islam.

3. Adapun, Syed Qutb dalam Ma'alim fi at-Thariq menjelaskan, yang boleh dipakai dalam bidang sains sosial ini adalah kajian-kajian statistikal. Tetapi jika ia hanyalah lontaran pemikiran, telaahan akal atau bersifat disiplin tapi tidak dibarengi dengan temuan statistik, maka tidak boleh diterima pakai!

4. Kita menolak islamisasi ilmu menjadi teori sosial di bidang sejarah, psikologi, ekonomi maupun politik untuk menjadi sandaran apatah lagi menjadi sumber hukum bagi menapis ijtihad para ulama dahulu dan kontemporer

5. Islamisasi ilmu @ proses penyelarasan ini tidak lain adalah pengulangan kesilapan yang dibuat oleh barisan ahli falsafah al-Mashaai'yyin (Ibnu Sina, al-Farabi, al-Khindi) yang terpengaruh dengan falsafah Yunani lalu cuba mendamaikannya dengan akidah Islam. Maka muncullah akidah cara Jabari, Murjiah, dan juga Muktazilah. Mereka takwil Al-Quran & Sunnah dan nafi hadith yang shahih, menjadikan pendapat Aristotle lebih tinggi dari wahyu. (Perihal gol. al-Mashaai'yyin disebut oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya al-Marjaiyyah al-Ulya fil Islam lil Quran wa Sunnah)

6. Ternyata, saya hanya mampu membaling batu pada pemikiran mereka dari jarak jauh sahaja


Bibliografi:


Kalau kita sama-sama perhitungkan, bahagia itu mempunyai kaedah sebanyak orang, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.


Seorang yang rindu dan bercinta, mengatakan hasil maksudnya itulah bahagia.


Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.


Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.


Seorang mahasiswa berasa bahagia disaat bergelar sarjana.


Seorang yang berjiwa rakyat berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.


Mereka yang terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhenti dari dosa itulah bahagia.


Kita akan bertambah bingung memikirkan hal ini. Dimanakah sebenarnya bahagia itu? Sebab itu kita berusaha mencari bahan bacaan yang kita rasa penting, karangan ahli falsafah, psikolog, pakar motivasi dan pengalaman hidupnya, adakah tersimpan di sana bahagia itu.

Kita kumpulkan bahan bacaan itu menjadi satu. Kita susun menjadi sebuah karangan, untuk menjadi penyuluh jalan kebahagiaan, tetapi belum lagi bahagia!

Maka kebahagian yang kita cari itu terlalu tinggi. Kita hanyalah mengumpulkan pendapat orang banyak, kerana begitulah kita dalam hidup ini. Kadang-kadang pendapat mereka itu belum pernah dirasai, hanya angan-angan sahaja begitulah. Kadang-kadang telah merasai tetapi tak berasa puas, kerana tak mudah manusia melukiskan kelazatan yang dirasai. Namun dengan membaca pendapat budiman itu, moga-moga terubatlah hati, tercapai bahagia, walaupun tidak seluruhnya, sebahagian pun cukuplah…

PENDAPAT PEMIKIR ZAMAN SEKARANG

Ahli pemikir zaman ini ada yang putus asa, yang kecewa dan ada yang merasa sukar sekali mencari bahagia itu.

Hendrik Ibsen, pemikir bangsa Norwegia (1828-1906) berkepercayaan bahawa mencari bahagia itu hanya menghabiskan umur saja, kerana jalan untuk menempuhnya sangat tertutup, setiap ikhtiar untuk melangkah ke sana sentiasa terhalang. Mula-mula mereka yang menujunya menyangka bahawa perjalanan telah dekat, padahal dekat ke jurang tempat jatuh.

Beliau berkata, “Kita belum mencapai bahagia, sebab tiap-tiap jalan yang ditempuh menjauhkan kita daripadanya.”

Cuba pembaca fikir, tidaklah patut ahli falsafah ini berpendapat demikian? Berapa banyak kita lihat dalam hidup ini manusia berikhtiar mencapai bahagia dengan bermacam jalan, tapi boleh dikatakan tiap-tiap penempuh itu jatuh di tengah jalan.

Dua pasangan yang dilamun cinta berhasrat memenuhi kemahuan hatinya dengan jalan pernikahan, mereka berjanji akan saling kasih mengasihi. Tapi setelah beberapa tahun melayari bahtera bersama, cinta bertukar menjadi amarah, hormat menjadi benci, rumah tangga yang dibinanya menjadi retak.

Seketika orang miskin yang bercita-cita hendak kaya, kerana menurutnya bila harta telah cukup bahagia akan tercapai, sebab dapat membantu sesama hamba Allah. Tetapi setelah dia kaya dia menjadi sombong, harta bendanya disimpan dan dia menjadi kikir.

Sebelum ia menjadi Ahli Parlimen atau Perdana Menteri, ia berjanji dihadapan rakyat bahawa dia akan membantah segala sifat zalim. Tapi setelah kerusi diperolehnya, bertukar kezaliman menteri yang hilang kepada menteri yang baru. Demikianlah antara lain contoh-contoh.

Kerana itulah Failasof Hendrik Ibsen berkata bahawa mencari bahagia itu membuang umur sahaja. Tapi hakikatnya, sikap beliau itu adalah sikap putus asa.

Thomas Hardy pun segolongan dengan Hendrik Ibsen. Sama-sama putus asa dalam mendaki, memanjat dengan bermacam-macam ikhtiar untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak dapat jua.

PENDAPAT BUDIMAN TENTANG BAHAGIA

Orang yang perpegang teguh dengan agama, kebahagiaannya adalah meninggalkan perkara yang terlarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat, mendekati yang baik. Bahagianya adalah pada mengerjakan agama.

Ibnu khaldun, bapa ilmu Sosiologi Moden berpendapat, “Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan.”

Imam al-Ghazali, dan ikutan dari segala tabib jiwa berpendapat bahawa, “Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah”.

Adapun, kelazatan hati ialah teguh ma’rifat kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingat Allah. Tak ubah dengan orang yang baru pandai bermain bola sepak, dia tak henti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan bola sepak. Demikian pula hati, yang dahulunya belum ada ma’rifat kepada Tuhannya, kemudian dia mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembiranya, dan tak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu.

Tiap-tiap bertambah makrifat, bertambah pula kelazatannya.

Seorang rakyat biasa akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan seorang yang berpangkat Dato’, kegembiraan itu akan naik berlipat kali ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan Sultan. Tentu saja berkenalan dengan Allah adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih dari apa yang dikira-kirakan oleh manusia, sebab tak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah.

JALAN BAHAGIA

Sekarang fahamlah kita bahawa segala sesuatu di alam ini baik dan buruknya bukanlah pada zat sesuatu itu, tapi penghargaan kehendak kita atasnya, menurut tinggi rendahnya AKAL kita.

Apalah gunanya kereta bagi orang yang tak pandai memandunya?

Apalah harga al-Quran bagi seorang atheis (tidak beragama)?

Apalah harga intan bagi orang gila? Sebab itulah manusia disuruh membersihkan akal budi, supaya dengan dia kita mencapai bahagia yang sejati.

Sekarang mari kita dengar pendapat Nabi Muhammad Saw. Dari Aisyah Radhiallahu’Anha, bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah saw., “Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya?”

Rasulullah saw. menjawab, “Dengan akal!”

Kata Aisyah pula, “Dan di akhirat?”

“Dengan akal juga.” Kata beliau.

“Bukankah seorang manusia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala amal ibadahnya?” kata Aisyah pula.

Rasulullah menjawab lagi, “Hai Aisyah, bukankah amal ibadah yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadah mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.”

Sabda Rasulullah pula, “Allah telah membagi akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebahagian, tidak lah ia terhitung orang yang berakal.”

Orang bertanya, “Ya Rasululah, manakah bahagian yang tiga macam itu?”

Kata beliau, “Pertama, baik ma’rifatnya kepada Allah. Kedua, baik taatnya kepada Allah, Ketiga, baik pula sabarnya atas ketentuan Allah.”

Dari sabda nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat kebahagiaan itu menurut darjat akalnya. Kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah tinggi darjat kebahagiaan yang kita capai.

Wallahua’lam

Bibliografi
Tasauf Modern HAMKA

(Blog PKPMI-CM)

Keperluan melahirkan pemimpin-pemimpin Negara amat mendesak lantaran pentingnya pendidikan harus didukung oleh penguasaan bahasa asing sebagai alat pencerdasan.

Bahasa adalah salah satu soal kecerdasan bangsa yang terpenting. Bahasa kita sendiri menjadi syarat bagi berdiri tegaknya kebudayaan kita. Akan tetapi, satu kebudayaan yang hidup, tidak cukup hanya dengan tinggal berdiri sahaja. Ia perlu tumbuh, bertambah, berubah, dan bergerak dinamik. Justeru perlu kepada pertukaran ‘udara’, perlu kepada tambahan ‘baja’, perlu kepada tambahan ‘air’ yang menjadi syarat penawar hidupnya.

Oleh sebab itu, disamping bahasa ibonda kita sendiri, bahasa asing yang lebih luas dan lebih kaya dapat menghubungkan kita dengan negara luar, menjadi suatu rukun yang tak boleh tidak, bagi kemajuan dan kecerdasan kita.

Dr. Muhammad Natsir, tokoh nasional Indonesia berkata mengenai alam melayu,

“Kalau kita disini mengatakan ‘bahasa asing’, ghalibnya kita ingat kepada bahasa Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, atau lain-lain. Dan memang bahasa Belanda, bahasa Inggeris, dan sebagainya itu banyak jasanya... Ini tidak kita mungkiri! Akan tetapi, jangan kita lupakan bahawa sebelum bahasa Belanda menjadi perhubungan dengan dunia luar, sebelumnya bahasa inggeris mulai dipelajari dikalangan bangsa kita. Kita di Indonesia sudah berpuluh tahun terlebih dahulu mempunyai bahasa perhubungan, jembatan yang menghubungkan kita dengan sumber kebudayaan dunia luar, iaitu bahasa Arab! .... dan bagi kita kaum Muslimin, adalah bahasa arab itu satu bahasa persatuan yang tak akan mungkin dicarikan gantinya, bahasa kunci dari perbendaharaan ilmu dan pengertian agama kita. Besar kerugian dan kerusakan yang menimpa kita apabila bahasa ini kita abaikan dan kita kesampingkan.”

Sehubungan dengan itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) yang memiliki majoriti ahlinya adalah muslim dan meletakkan asas perlembagaannya berteraskan nilai-nilai islam dan ideologi kebangsaan Negara bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa untuk mendalami bahasa asing tanpa mengesampingkan kepentingan penganut agama lainnya.

Pada peringkat awal, pihak persatuan akan tumpu kepada penguasaan Bahasa Arab terlebih dahulu sebelum bahasa asing lainnya.

Mudah-mudahan, akan lahir doktor dari bumi Indonesia yang seimbang antara (dunia-akhirat), (Leiden-al-Azhar), (Oxford-Madinah). Insya' Allah. Ya, memang benar apa yang dinyatakan oleh H.M Anis Matta, ternyata kita perlukan pemimpin yang bersifat multi-dimensional.

Kita mulakan dengan penguasaan bahasa.

"Penguasaan Bahasa Asing Lambang Kecerdasan Minda Bangsa"

Sumatra dikejutkan dengan gempa berkekuatan 7.6 skala richter. Angka kematian terus meningkat. Ditakutkan angka korban terus meningkat. Demikian harian Belanda de Volkskrant.

Kami tak pernah memungkiri fakta sains yang menyatakan bahawa daerah Sumatera Barat terletak pada garisan lingkaran api pasifik. Kawasan laluan gempa dan gunung berapi. Sumatera Utara juga sama. Perjalanan alam dengan aturan sebab-akibatnya (cause and effect) amat selari dengan orientasi perkembangan sains. Namun sains tanpa agama adalah ‘buta’, lantaran tidak semua persoalan mampu dijawab oleh sains. Dan hingga ke saat ini, belum ada satu teknologi yang mampu mendeteksi waktu terjadinya gempa tektonik maupun bencana nasional lainnya.

Saya teringat pada satu kisah, ketika Saidina Umar bin Khattab menjadi Amirul Mukminin, terjadi gempa besar di salah satu wilayah kekuasaannya yang sangat hebat dan luas sehingga mengorbankan banyak jiwa.

Umar mendatangi wilayah tersebut, bersua dan mengumpulkan para penduduknya. Kalimat yang pertama muncul dari bibir Umar bin Khattab bukanlah ucapan takziah sebenarnya. Dan bukan juga rasa simpati. Pernyataan pertama yang keluar dari Umar bin Khattab justeru ajakan untuk memuhasabah diri.

“Wahai semua dari kalian, apa yang telah kalian perbuat? Maksiat apa yang telah kalian lakukan, sehingga Allah menurunkan peringatan sedemikian rupa? Hingga Allah menurunkan musibah begini dahsyatnya?” Itulah ucapan Umar pada penduduknya. Dan, itulah contoh kebijaksaan akal pemikir Islam berbanding akal pemikir Barat yang sekular.

(Gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia)

Sedar ataupun tidak, Negara kita ini sudah 400 tahun sujud kepada berhala yang di import dari Barat. Sekularisme namanya. Dan berhala ini punya tabiat buruk. Ia sangat suka berlindung disebalik agama. Kita sebut dengan panggilan Islam Liberal, Islam Amerika, Islam Progresif, Islam Hadhari, dan juga Islamisasi Ilmu Sosial Barat.

Penyembah berhala ini meletakkan peranan akal di atas petunjuk wahyu. Rujukan mereka hanya satu iaitu ahli pemikir Yunani bukannya petunjuk daripada wahyu Allah. Namun strategi mereka di dunia islam, ia akan berlindung dibelakang ahli pemikir Islam peripatetik (al-Mashaai’yyin) yang menyeleweng.

Ia sungguh mengelirukan.

Di dalam menerangkan hakikat kekeliruan ini, Mustafa Muhammad dalam bukunya “al-Harakah al-Islāmiyyah al-Hādithah fi Turkiya” mendedahkan strategi Mustafa Kamal yang cuba membunuh ajaran tauhid,

“Sesungguhnya Mustafa kamal telah menyelinap masuk ke dalam fikiran orang ramai secara sembunyi-sembunyi, dan di dalam mencapai kehendak-kehendaknya dan fikiran-fikirannya ia telah beransur-ansur dari waktu ke waktu..

Maka dia pada satu peringkat mahu menyatukan Negara dan menghalau keluar perampas yang menjajah.. dan tatkala para pembantunya mensyaratkan kepadanya agar ia jangan menyentuh institusi khilafah sebagai balasan dari sokongan mereka kepadanya, lalu ia menegaskan dengan bersungguh-sungguh bahawa ia akan berpegang teguh dengan permintaan itu… Kemudian anda melihat ia mula memisahkan kekuasaan daripada khalifah… Dan kemudian anda melihatnya pula menghapuskan sepenuhnya institusi khalifah… Dan akhirnya dia mengistiharkan pula penubuhan sebuah Negara republic, dan menyeru secara terus terang kepada Sekularisme dan penghapusan islam.

Dan di dalam setiap peringkat dari peringkat-peringkat itu ia sentiasa menggunakan dari lelaki dan pemikiran yang bersesuaian dengan peringkat itu… Dan suatu perkara yang biasa bahawa Mustafa kamal mempergunakan para ulama dalam setiap peringkat yang berbeza itu... Dan dari kalangan para ulama yang cuba didekati olehnya dan mengambil manfaat dari kedudukan ilmiah, adabiah dan kemasyhuran mereka ialah Badiuzzaman an-Nursi.. Akan tetapi ketajaman faham beliau dan ilmu beliau telah memeliharanya pada penghujung dari cerun yang amat berbahaya itu”

Cukuplah sebagai contohnya, simpanan al-Wadi'ah. Pada hakikatnya, disebalik nama islam itu adalah menyalahi syarat-syarat wadiah yang sebenar dalam fiqih islam. Buatlah sedikit sahaja penelitian ilmiah. Nescaya anda akan menemukan bahawa syarat-syarat tersebut tidak dapat dipenuhi kerana Bank terpaksa tunduk kepada peraturan Bank Kapitalis sebagaimana yang dipertahankan oleh sebuah Negara yang bertuhankan Sekularisme.

Bahkan lebih buruk daripada itu, melalui penyelarasan kepada peraturan perbankan ekonomi kapitalis, konsep al-Wadi'ah tersebut secara praktikalnya telah bertukar menjadi Qardu ar-Ribāwi yang diharamkan oleh islam itu.


(Antara contoh bank kapitalis yang menjaja perbankan Islam)

Sesungguhnya nasib segala pembaharuan ekonomi islam dalam sebuah negara sekular telah diprogram dengan begitu teliti agar berakhir dalam pangkuan Kapitalisme jua. Inilah syarat yang cuba disampaikan oleh kaunter-kaunter perbankan tanpa faedah, khidmat al-Mudhārabah, dan ar-Rahnu yang mula ditawarkan oleh kebanyakkan bank kapitalis. Ini bukanlah berita gembira tapi sebagai senyuman sinis dari syaitan kapitalis yang layak ditampar oleh setiap muslim yang bermaruah!

Bacalah kenyataan penganut ajaran kapitalisme Malaysia yang sophist (loyar buruk) itu, kononnya mahu mempelopori ‘ekonomi islam’,

“Dalam mewujudkan sistem kewangan islam kita jangan cuba meruntuhkan sistem kewangan konvensional (kapitalisme), samada semuanya atau pun sedikit demi sedikit. Apa yang perlu kita buat adalah mendirikan sebuah masjid kewangan islam bersebelahan kuil kewangan konvensional dan cuba menarik perhatian umum daripada kuil tersebut kepada masjid yang kita bina. Inilah falsafah yang kita pegang dalam melaksanakan perbankan islam di Malaysia”

Ini baru satu contoh. Dan, saya punya banyak contoh pembohongan yang dilakukan oleh penyembah-penyembah sekularisme di tanah air daripada aspek undang-undang sosial, politik, dan ekonomi.

Oleh itu, kami menyeru kepada para pemimpin dan rakyat Malaysia-Indonesia supaya segera bertaubat. Bertaubat daripada menganut fahaman Sekularisme kepada mengesakan Allah Swt. melalui perlaksanaan hukum-hukum syariat-Nya secara kāffah (keseluruhan).

Yakinlah janji Rasulullah saw.,

“Mendirikan satu hudud adalah lebih baik dari disirami hujan selama empat puluh malam dalam sebuah negeri kepunyaan Allah azza wajalla” (Riwayat an-Nasaai, Ibnu Majah dan Ahmad)

Doktor Wahbah Zuhaili, penyusun tafsir al-Munir telah menjelaskan pengajaran penting dari ayat 25 surah al-hadid dalam tafsiran dengan berkata, “Ayat ini adalah merupakan perlembagaan masyarakat islam dan sistem perundangan masyarakat Islam. Masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang berhukumkan dengan undang-undang langit, berasaskan manhaj kebenaran, keadilan, dan persamaan, dan ianya ditegakkan dibawah lindungan kekuatan yang memelihara dasar-dasar perundangan itu, yang menolak dan mengancam sesiapa sahaja yang berkeinginan melanggarnya atau mencabar kesuciannya, atau berusaha untuk menghapuskannya, atau sesiapa sahaja yang cuba menyekat perkembangan dakwah Islam dalam Negara islam atau diluarnya.”

Pada tahun lalu, saya pernah ke Padang menghadiri program Halaqah “Ini Sejarah Kita” bersama mahasiswa Malaysia di Universiti Andalas. Saya tersenyum sinis melihat begitu banyaknya papan tanda wajah ahli politikus yang diganding dengan asmā’ Allah. Dibawahnya tertera slogan “Dengan nama Allah, Allah menyelamatkan Kota Padang. Baik. Saya nak tanya kepada ahli politik sekular ini, apakah nama Allah hanya layak dipajang saja, sementara peraturannya tak pernah terlaksana? Dimanakah irādah Allah al-Tashri’iyyah (kehendak Allah dalam penanggungan syarak ke atas hambanya)?

Prof. HAMKA, tokoh idola saya pernah berkata dalam Tasauf Modernnya,

“Kita dilarang untuk mencari hormat dan nama. Tapi kita tidak dilarang untuk mencari kehormatan ke arah perbaikan budi pekerti. Gila hormat itu tidak boleh, tapi mencari kehormatan itulah TUJUAN dan MATLAMAT HIDUP.”

Taubat dari segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. Hal itu justru akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Sebagaimana firmanya dalam surah Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." Lihat juga ayat (2:160), (3:133), (66:8).

Wallahua’lam.

Copyright © 2012 Ahmad Aizatnur International Sdn Bhd.