ERTI BAHAGIA


Kalau kita sama-sama perhitungkan, bahagia itu mempunyai kaedah sebanyak orang, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.


Seorang yang rindu dan bercinta, mengatakan hasil maksudnya itulah bahagia.


Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.


Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.


Seorang mahasiswa berasa bahagia disaat bergelar sarjana.


Seorang yang berjiwa rakyat berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.


Mereka yang terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhenti dari dosa itulah bahagia.


Kita akan bertambah bingung memikirkan hal ini. Dimanakah sebenarnya bahagia itu? Sebab itu kita berusaha mencari bahan bacaan yang kita rasa penting, karangan ahli falsafah, psikolog, pakar motivasi dan pengalaman hidupnya, adakah tersimpan di sana bahagia itu.

Kita kumpulkan bahan bacaan itu menjadi satu. Kita susun menjadi sebuah karangan, untuk menjadi penyuluh jalan kebahagiaan, tetapi belum lagi bahagia!

Maka kebahagian yang kita cari itu terlalu tinggi. Kita hanyalah mengumpulkan pendapat orang banyak, kerana begitulah kita dalam hidup ini. Kadang-kadang pendapat mereka itu belum pernah dirasai, hanya angan-angan sahaja begitulah. Kadang-kadang telah merasai tetapi tak berasa puas, kerana tak mudah manusia melukiskan kelazatan yang dirasai. Namun dengan membaca pendapat budiman itu, moga-moga terubatlah hati, tercapai bahagia, walaupun tidak seluruhnya, sebahagian pun cukuplah…

PENDAPAT PEMIKIR ZAMAN SEKARANG

Ahli pemikir zaman ini ada yang putus asa, yang kecewa dan ada yang merasa sukar sekali mencari bahagia itu.

Hendrik Ibsen, pemikir bangsa Norwegia (1828-1906) berkepercayaan bahawa mencari bahagia itu hanya menghabiskan umur saja, kerana jalan untuk menempuhnya sangat tertutup, setiap ikhtiar untuk melangkah ke sana sentiasa terhalang. Mula-mula mereka yang menujunya menyangka bahawa perjalanan telah dekat, padahal dekat ke jurang tempat jatuh.

Beliau berkata, “Kita belum mencapai bahagia, sebab tiap-tiap jalan yang ditempuh menjauhkan kita daripadanya.”

Cuba pembaca fikir, tidaklah patut ahli falsafah ini berpendapat demikian? Berapa banyak kita lihat dalam hidup ini manusia berikhtiar mencapai bahagia dengan bermacam jalan, tapi boleh dikatakan tiap-tiap penempuh itu jatuh di tengah jalan.

Dua pasangan yang dilamun cinta berhasrat memenuhi kemahuan hatinya dengan jalan pernikahan, mereka berjanji akan saling kasih mengasihi. Tapi setelah beberapa tahun melayari bahtera bersama, cinta bertukar menjadi amarah, hormat menjadi benci, rumah tangga yang dibinanya menjadi retak.

Seketika orang miskin yang bercita-cita hendak kaya, kerana menurutnya bila harta telah cukup bahagia akan tercapai, sebab dapat membantu sesama hamba Allah. Tetapi setelah dia kaya dia menjadi sombong, harta bendanya disimpan dan dia menjadi kikir.

Sebelum ia menjadi Ahli Parlimen atau Perdana Menteri, ia berjanji dihadapan rakyat bahawa dia akan membantah segala sifat zalim. Tapi setelah kerusi diperolehnya, bertukar kezaliman menteri yang hilang kepada menteri yang baru. Demikianlah antara lain contoh-contoh.

Kerana itulah Failasof Hendrik Ibsen berkata bahawa mencari bahagia itu membuang umur sahaja. Tapi hakikatnya, sikap beliau itu adalah sikap putus asa.

Thomas Hardy pun segolongan dengan Hendrik Ibsen. Sama-sama putus asa dalam mendaki, memanjat dengan bermacam-macam ikhtiar untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak dapat jua.

PENDAPAT BUDIMAN TENTANG BAHAGIA

Orang yang perpegang teguh dengan agama, kebahagiaannya adalah meninggalkan perkara yang terlarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat, mendekati yang baik. Bahagianya adalah pada mengerjakan agama.

Ibnu khaldun, bapa ilmu Sosiologi Moden berpendapat, “Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan.”

Imam al-Ghazali, dan ikutan dari segala tabib jiwa berpendapat bahawa, “Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah”.

Adapun, kelazatan hati ialah teguh ma’rifat kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingat Allah. Tak ubah dengan orang yang baru pandai bermain bola sepak, dia tak henti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan bola sepak. Demikian pula hati, yang dahulunya belum ada ma’rifat kepada Tuhannya, kemudian dia mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembiranya, dan tak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu.

Tiap-tiap bertambah makrifat, bertambah pula kelazatannya.

Seorang rakyat biasa akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan seorang yang berpangkat Dato’, kegembiraan itu akan naik berlipat kali ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan Sultan. Tentu saja berkenalan dengan Allah adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih dari apa yang dikira-kirakan oleh manusia, sebab tak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah.

JALAN BAHAGIA

Sekarang fahamlah kita bahawa segala sesuatu di alam ini baik dan buruknya bukanlah pada zat sesuatu itu, tapi penghargaan kehendak kita atasnya, menurut tinggi rendahnya AKAL kita.

Apalah gunanya kereta bagi orang yang tak pandai memandunya?

Apalah harga al-Quran bagi seorang atheis (tidak beragama)?

Apalah harga intan bagi orang gila? Sebab itulah manusia disuruh membersihkan akal budi, supaya dengan dia kita mencapai bahagia yang sejati.

Sekarang mari kita dengar pendapat Nabi Muhammad Saw. Dari Aisyah Radhiallahu’Anha, bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah saw., “Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya?”

Rasulullah saw. menjawab, “Dengan akal!”

Kata Aisyah pula, “Dan di akhirat?”

“Dengan akal juga.” Kata beliau.

“Bukankah seorang manusia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala amal ibadahnya?” kata Aisyah pula.

Rasulullah menjawab lagi, “Hai Aisyah, bukankah amal ibadah yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadah mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.”

Sabda Rasulullah pula, “Allah telah membagi akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebahagian, tidak lah ia terhitung orang yang berakal.”

Orang bertanya, “Ya Rasululah, manakah bahagian yang tiga macam itu?”

Kata beliau, “Pertama, baik ma’rifatnya kepada Allah. Kedua, baik taatnya kepada Allah, Ketiga, baik pula sabarnya atas ketentuan Allah.”

Dari sabda nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat kebahagiaan itu menurut darjat akalnya. Kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah tinggi darjat kebahagiaan yang kita capai.

Wallahua’lam

Bibliografi
Tasauf Modern HAMKA

0 comments:

Copyright © 2012 Ahmad Aizatnur International Sdn Bhd.