HATIKU BERBICARA

Pencak silat panglima pekan,
Mencari musuh kali kedua,
Idea pertama kau pertanyakan
Jawapan hati ku dikirim jua.

1. Artikel separa ilmiah yang ditulis ketika saya berada di tahun kedua fakulti dentistry berkenaan “Titik Kekeliruan Gagasan Islamisasi Ilmu” telah dikritik tajam secara berjama’ah dalam Facebook Wan Rausyanfikir, seorang penganut tegar gagasan itu.

Hatiku berbicara, “kritik tanda kita berprestasi. Mereka yang tidak berprestasi, siapa yang mahu mengkritiknya.”

2. Mereka minta saya kritik gagasan islamisasi ilmu "point by point".

Hatiku berbicara, kalaulah saya berjaya menghasilkan BUKU-BUKU KRITIKAN dengan pembahasan dan alur fikir yang sistematik, maka sama ada dua kemungkinan;

a. Gagasan islamisasi ilmu (khusus sains sosial sahaja. Adapun islamisasi sains dan teknologi saya terima pakai) yang dibina selama bertahun-tahun bakal menuju ke gerbang kejatuhan;

b. Saya akan tenggelam dalam lautan perdebatan bersama paling sedikit 500 pendukung aliran ini di serata dunia sepanjang hidup saya. Dan ini yang paling dominan antara keduanya.

3. Mereka berkata bahawa tulisan ini akan menimbulkan fitnah besar.

Hati ku berbicara, “tidakkah gagasan penyelarasan antara ‘aql dan naql yang cuba diketengahkan melalui agenda islamisasi ilmu dibidang sosial itu mendatangkan fitnah yang lebih besar lagi. Hebat sangatkah ‘fitnah’ artikel blogspot ku ini berbanding mereka!”

4. Mereka pura-pura bertanya lagi, “apa buktinya?”

Hatiku berbicara, “Anda tidak perlu menoleh ke kiri atau kanan. Dan jangan tunggu sebuah thesis untuk membahasnya dengan panjang lebar. Jawapan ada pada diri anda sendiri. Ketika berlaku satu permasalahan sosial ditengah masyarakat, solusi apa yang bakal anda ketengahkan lalu dikempenkan ditengah masyarakat luas? Syari’at Allah (irādatullah tasyri’iyyah) yang dikutip daripada hasil ijtihad para ulama’ mu’tabar dahulu dan kontemporer (semisal Al-Qardhawi) atau hasil interpretasi daripada displin ilmu sains Sosial Barat yang telah mengalami proses deislamisasi menurut kaedah yang ditekuni oleh kalian selama bertahun-tahun?

Perlukah saya kutip poin demi poin dari blog rausyanfikir.com atau NGO lain untuk dikritik dalam facebook secara berjama’ah tentang itu?

5. Poin ini siapa pun sukar hendak percaya dan kelihatan amat berlebihan. Mereka samakan saya dengan para orientalis (semisal Snouck Hurgronje barangkali) dan Nurcholish Majid (Cak Nur).

Hatiku berbicara, “wujudkah seorang orientalis di dunia ini yang bercita-cita mahu menegakkan syariat Allah di muka bumi? Tak tahukah mereka bahawa saya juga antara pengkritik kuat “Islam Yes, Partai Islam No!” Gagasannya Cak Nur di Indonesia?

Siapa yang terperangkap dengan idea orientalis sebenarnya?

6. Mereka dengan yakin menyatakan bahawa mereka tidak meletakkan naql dibawah ‘aql. Buktinya kata mereka, tercatat banyak pandangan para ulama mu’tabar dalam buku rujukan mereka.

Hatiku berbicara, “saya mendakwa aliran islamisasi ilmu ini adalah usaha penyelarasan. Jadi, sudah tentu hujah dari para ulama mu’tabar turut digandingkan bersama. Maaf dengan bahasa lain, kalau tidak digandingkan, bagaimana mahu laku. Rujuk kembali konsep al-Tawfīq Bayn al-Dīn wa al-Falsafah menurut Ibnu Rusyd.”

7. Mereka mahu saya teliti secara mendalam “Islam and Secularism” dan “Prolegomena to the Metaphysics of Islam”.

Hati saya berbicara, lebih baik saya dan anda kuasai dan hadhom juga Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti; Kubral Al-Yaqiniyyat Al-Kawniyyah: Wujud Al-Khaliq wa Wazifah al-Makhluq, Ma’alim fi At-Thariq; Syed Qutb, Islam wa ‘Aql; Abdul Halim Mahmud, Jawlat fil fiqhain al-kabir wal akbar wa usuliha; Sa’id Hawwa, serta pandangan dan kerangka pemikiran ulama ahli sunnah wal jamaah masa kini yang benar-benar jelas.

8. Ramadhan Al-Mubarak. Jatah waktu yang seharusnya dimanfaatkan untuk mengasah hati menurut Ustaz Hasrizal, namun telah ku peruntukkan untuk mengasah akal pula. Semoga Allah memberkati saya dan rakan-rakan di sana. Ameen ya rob.


Wallahua’lam


0 comments:

Copyright © 2012 Ahmad Aizatnur International Sdn Bhd.